Rugi RM80,000 disamun 4 lelaki bersenjata

Enam sekeluarga mengalami detik-detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Kelulut di sini dipecah masuk oleh empat penyamun bersenjatakan alat pemotong serta besi dalam kejadian awal pagi tadi menyebabkan kerugian hampir RM80,00.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, keluarga malang berkenaan sedang nyenyak tidur sebelum salah seorang daripada empat penyamun itu mengejutkan mangsa Hawa Bakar, 53 yang tidur di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan bersama suaminya Alias Ahmad 60.
Hawa, yang juga merupakan seorang peniaga kedai runcit lebih 20 tahun berkata, beliau dan suaminya diugut dan diikat dengan wayar elektrik sebelum empat anaknya berusia antara 11 hingga 21 tahun yang tidur di bilik berasingan dibawa berkumpul di biliknya.
Ketika ditemui, peniaga runcit itu berkata, kumpulan perompak menghabiskan masa selama 45 minit untuk menggeledah rumah itu sebelum melarikan pelbagai barangan kemas, lima buah telefon bimbit, sebuah komputer bimbit dan wang tunai lebih RM7,000 yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM80,000.
Katanya, wang tunai RM7,000 itu adalah hasil perniagaan runcitnya selama dua hari yang disimpan dalam beg tangannya di sebelah katinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment