Dipenjara 14 hari gara-gara curi enjin bot

Gara-gara mencuri enjin bot, seorang lelaki terpaksa meringkuk 14 hari dalam penjara dan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.


Tertuduh, Raja Suhardi Raja Ahmat, 32, dari Sungai Isap, di sini, didakwa mencuri besi enjin bot milik Cheng Han Meng, 32, di jeti Tanjung Api, di sini, kira-kira jam 3 petang, pada 13 Disember lalu.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan.

Tertuduh mengaku salah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Nurunaim Abdullah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail.

Nurunaim juga mengenakan hukuman penjara selama empat bulan lagi jika tertuduh gagal membayar wang denda tersebut.

Sementara itu, hanya kerana Nescafe, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan mencuri 24 peket Nescafe dari sebuah pasar raya pada Selasa lalu.

Tertuduh, Mohd Haris M Satha, 43, dari Kampung Jaya Gading, di sini, didakwa mencuri serbuk minuman kopi jenama tersebut yang berharga RM840 dari pasar raya Terus Maju, Batu 6, Jalan Gambang, di sini, jam 3.55 petang pada hari tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku salah melakukan perbuatan tersebut dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Amalina Zainal Mokhtar.

Mahkamah kemudian mengenakan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bercagar dan menetapkan 20 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit.

No comments:

Post a Comment