Buru khinzir, jumpa mayat

Seorang pemburu yang sedang memburu khinzir terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di satu lorong semak di Kampung Semat, di sini, semalam.
 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mayat yang telah berbau itu dipercayai mati dibunuh sebelum dicampak di situ.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abd Gaffar Mohamad, berkata, mayat yang lengkap berpakaian baju kemeja lengan panjang dan berseluar jeans itu terbaring di dalam semak lalang di cerunan bukit menghala ke arah tebing Sungai Perak.
 
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman di bahagian abdomen mangsa.
 
“Jarak mayat itu ditemui ialah kira-kira 20 meter dari jalan utama dari arah Jalan raya Manong menuju Tg Belanja.
 
“Mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga lima hari berdasarkan mayat yang ditemui itu sudah berbau busuk,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
 
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan kemungkinan si mati adalah berbangsa India atau warga asing.
 
“Mangsa berumur dalam lingkungan 36 hingga 50 tahun dan berkulit gelap dengan ketinggian kira-kira 176 sentimeter.
 
“Pakar patologi forensik akan menjalankan bedah siasat untuk siasatan lanjut mengenai punca kematian dan kecederaan di mati.
 
“Siasatan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan menyerupai ciri-ciri si mati atau mengenali mangsa supaya menghubungi pihak polis Kuala Kangsar.
 
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Petugas Gerakan Khas Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau hubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nazaruddin Ibrahim di talian 019-6666373,” katanya.

No comments:

Post a Comment