Nyaris maut ditembak


Seorang anak pemilik restoran nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika menjamu selera di restoran milik ayahnya di Prima Tanjung, di sini semalam.

Namun pergelutan yang berlaku antara mangsa dan suspek menyelamatkan nyawanya apabila tembakan yang dilepaskan suspek hanya terkena pada bahagian kiri keningnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang di restoran masakan Taipei ketika mangsa berusia 24 tahun sedang menikmati makanan bersama rakannya.

Kong Meng berkata, suspek yang tidak dikenali mangsa secara tiba-tiba masuk ke dalam restoran dengan mengacukan sepucuk Revolver ke arah mangsa.

“Menurut mangsa, ketika suspek datang menghampirinya dan mengacukan pistol, dia cuba merampas senjata itu sebelum berlaku sedikit pergelutan antara mereka.

“Ketika sedang bergelut suspek melepaskan tiga das tembakan dan satu tembakan terkena sipi bahagian kening mangsa. Satu tembakan lagi terkena lantai dan tembakan ketiga pula terkena sipi bahagian tengkuk suspek,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Kong Meng berkata, selepas berjaya merampas pistol itu, suspek segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu di luar.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di bahagian kepala segera mendapatkan rawatan di klinik yang terletak bersebelahan dengan restoran berkenaan.

“Sehingga kini polis masih lagi menyiasat motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment