Curi kasut, jual pada pemilik asal

Helah seorang lelaki untuk mendapatkan wang dengan menjual kasut yang dicurinya tidak berjaya apabila tindakan jahatnya itu terbongkar apabila secara tidak sengaja menawarkan kepada pemilik asal kasut terbabit.
 

Tertuduh, Samsu @ Shamsudin Musa, 41, berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
 
Pengakuan itu dilakukan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim dan pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Miky Dunstan Muda.
 
Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Disember lalu di Stesen Bas Kuala Dungun, seorang pemandu bas pelancong meninggalkan kasut jenama Rorine berwarna coklat miliknya di dalam bas dan memakai selipar untuk ke tandas.
 
Ketika dalam perjalanan kembali ke bas, pengadu terserempak dengan suspek yang kemudian menawarkan untuk menjual kasut kepadanya.
 
Bagaimanapun, mangsa dapat mengecam kasut itu adalah miliknya yang ditinggalkan di dalam bas berkenaan.
 
Pengadu kemudian membawa suspek menaiki bas dan mendapati kasutnya lesap.
 
Selepas disoal siasat, suspek mengaku mencuri kasut mangsa dan dia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
 
Abdul Hayyi menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di Mahkamah Majistret Dungun.
 
Tertuduh bagaimanapun dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Dirogol Dan Dibunuh

Kejam..wanita ini dikatakan dirogol dan dibunuh, dan dia ditemui dalam keadaan berulat. Menurut laporan, wanita ini telah dirogol dan kemudian dibunuh, tetapi sumber tidak mengatakan lokasi dan bila dia dibunuh

Bilik azan kena ceroboh


Masjid Tanjung Kling, di sini sekali lagi dipecah masuk penyamun, awal pagi kelmarin mengakibatkan beberapa barangan dalam masjid berkenaan lesap.

Kejadian pecah masuk masjid berkenaan dikatakan sudah dua kali berlaku sebelum ini dan terbaru kira-kira tiga minggu lalu apabila terdapat kesan cubaan pecah masuk ke masjid berkenaan.

Dalam kejadian kelmarin, penjenayah berjaya memecah masuk bilik azan yang menempatkan beberapa perala­-tan elektrik termasuk set projektor, pemain cakera padat (VCD) dan peti menyimpan peralatan pertukangan elektrik.

Ia disedari seorang bilal masjid, Mohd Sirah Limat, 57, semasa mahu memasuki bilik azan untuk bersedia melaungkan azan Subuh, kira-kira 5.15 pagi.

Mohd Sirah berkata, ketika itu, dia mendapati pelapik engsel pintu di sebelah ruang solat sudah rosak akibat diumpil, selain beberapa kesan umpilan juga dikesan pada bahagian sisi pintu kayu bilik berkenaan.

Malah, katanya, dia terkejut apabila mendapati pintu di sebelah ruang mimbar serta pintu belakang turut dalam keadaan terbuka.

“Sebuah almari yang menyimpan beberapa peralatan masjid seperti set projektor, VCD termasuk surat dan kitab turut diselongkar,” katanya.

“Ketika diperiksa, saya dapati set projektor bernilai RM2,400 yang dibeli kira-kira dua tahun lalu sudah hilang dipercayai diambil penjenayah berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di masjid berkenaan, semalam.

Mohd Sirah berkata, penyamun berkenaan juga dikesan mencuri sebuah peti menyimpan peralatan pertukangan elektrik yang dile­takkan di lantai.

“Almari yang diselongkar itu turut digunakan untuk menyimpan barang serta surat pegawai masjid iaitu Imam 1, 2 dan 3 termasuk barang dan surat saya sendiri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Kling, di sini.

Nyaris maut ditembak


Seorang anak pemilik restoran nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika menjamu selera di restoran milik ayahnya di Prima Tanjung, di sini semalam.

Namun pergelutan yang berlaku antara mangsa dan suspek menyelamatkan nyawanya apabila tembakan yang dilepaskan suspek hanya terkena pada bahagian kiri keningnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang di restoran masakan Taipei ketika mangsa berusia 24 tahun sedang menikmati makanan bersama rakannya.

Kong Meng berkata, suspek yang tidak dikenali mangsa secara tiba-tiba masuk ke dalam restoran dengan mengacukan sepucuk Revolver ke arah mangsa.

“Menurut mangsa, ketika suspek datang menghampirinya dan mengacukan pistol, dia cuba merampas senjata itu sebelum berlaku sedikit pergelutan antara mereka.

“Ketika sedang bergelut suspek melepaskan tiga das tembakan dan satu tembakan terkena sipi bahagian kening mangsa. Satu tembakan lagi terkena lantai dan tembakan ketiga pula terkena sipi bahagian tengkuk suspek,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Kong Meng berkata, selepas berjaya merampas pistol itu, suspek segera melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu di luar.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di bahagian kepala segera mendapatkan rawatan di klinik yang terletak bersebelahan dengan restoran berkenaan.

“Sehingga kini polis masih lagi menyiasat motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” katanya.

Buru khinzir, jumpa mayat

Seorang pemburu yang sedang memburu khinzir terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki di satu lorong semak di Kampung Semat, di sini, semalam.
 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mayat yang telah berbau itu dipercayai mati dibunuh sebelum dicampak di situ.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abd Gaffar Mohamad, berkata, mayat yang lengkap berpakaian baju kemeja lengan panjang dan berseluar jeans itu terbaring di dalam semak lalang di cerunan bukit menghala ke arah tebing Sungai Perak.
 
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman di bahagian abdomen mangsa.
 
“Jarak mayat itu ditemui ialah kira-kira 20 meter dari jalan utama dari arah Jalan raya Manong menuju Tg Belanja.
 
“Mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga lima hari berdasarkan mayat yang ditemui itu sudah berbau busuk,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
 
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan kemungkinan si mati adalah berbangsa India atau warga asing.
 
“Mangsa berumur dalam lingkungan 36 hingga 50 tahun dan berkulit gelap dengan ketinggian kira-kira 176 sentimeter.
 
“Pakar patologi forensik akan menjalankan bedah siasat untuk siasatan lanjut mengenai punca kematian dan kecederaan di mati.
 
“Siasatan diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan menyerupai ciri-ciri si mati atau mengenali mangsa supaya menghubungi pihak polis Kuala Kangsar.
 
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Petugas Gerakan Khas Kuala Kangsar di talian 05-7762222 atau hubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nazaruddin Ibrahim di talian 019-6666373,” katanya.

Kereta BMW 325i Fasha Sandha hilang

Pelakon terkenal, Fasha Sandha mengalami kerugian kira-kira RM300,000 apabila kereta jenis BMW 325i miliknya lesap, dipercayai dicuri di kawasan letak kereta Jalan Wangsa Delima berhampiran pusat beli-belah Wangsa Walk, di Wangsa Maju di sini semalam.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, Fasha, 27, yang ditemani ibunya dikatakan meninggalkan kereta itu untuk ke salun Chinta miliknya yang terletak berhampiran premis tersebut.
"Fasha yang keluar semula menuju ke arah keretanya 10 minit kemudian terkejut apabila mendapati kereta BMW 325i berwarna putih miliknya telah hilang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jelas sumber itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Fasha di Balai Polis Wangsa Maju berhubung kehilangan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sementara itu, Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya, Penanggalmengesahkan kehilangan kereta tersebut.

Rugi RM80,000 disamun 4 lelaki bersenjata

Enam sekeluarga mengalami detik-detik cemas apabila rumah mereka di Kampung Kelulut di sini dipecah masuk oleh empat penyamun bersenjatakan alat pemotong serta besi dalam kejadian awal pagi tadi menyebabkan kerugian hampir RM80,00.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, keluarga malang berkenaan sedang nyenyak tidur sebelum salah seorang daripada empat penyamun itu mengejutkan mangsa Hawa Bakar, 53 yang tidur di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan bersama suaminya Alias Ahmad 60.
Hawa, yang juga merupakan seorang peniaga kedai runcit lebih 20 tahun berkata, beliau dan suaminya diugut dan diikat dengan wayar elektrik sebelum empat anaknya berusia antara 11 hingga 21 tahun yang tidur di bilik berasingan dibawa berkumpul di biliknya.
Ketika ditemui, peniaga runcit itu berkata, kumpulan perompak menghabiskan masa selama 45 minit untuk menggeledah rumah itu sebelum melarikan pelbagai barangan kemas, lima buah telefon bimbit, sebuah komputer bimbit dan wang tunai lebih RM7,000 yang dianggarkan kesemuanya bernilai RM80,000.
Katanya, wang tunai RM7,000 itu adalah hasil perniagaan runcitnya selama dua hari yang disimpan dalam beg tangannya di sebelah katinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

'Geng Cicak' edar dadah tumpas

Dua pengedar dadah bergelar 'Geng Cicak' yang baru sebulan mencuba nasib mencari rezeki dengan melakukan kerja haram tidak bertahan lama apabila mereka dicekup dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Kinrara dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abdul Razak Elias berkata, polis melakukan serbuan di kondominium itu pada pukul 10 pagi dan mulanya menahan seorang suspek di tempat letak kereta kondominium tersebut.
"Ketika ditahan suspek berusia 27 tahun sedang menghidupkan kereta Toyota Camry untuk keluar.
"Ketika ditahan berlaku pergelutan, namun suspek itu kemudian menyerah diri," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan suspek kedua berusia 39 tahun di sebuah unit kondominium yang disewa oleh kedua-dua sahabat tersebut.
Kedua-dua sahabat itu bergelar 'Geng Cicak' kerana masing-masing mempunyai tatu berupa seekor cicak pada bahagian dada kiri mereka.
Abdul Razak memberitahu, polis yang memeriksa rumah itu menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, ekstasi, syabu, dan pil kuda yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM80,000.

Dipenjara 14 hari gara-gara curi enjin bot

Gara-gara mencuri enjin bot, seorang lelaki terpaksa meringkuk 14 hari dalam penjara dan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.


Tertuduh, Raja Suhardi Raja Ahmat, 32, dari Sungai Isap, di sini, didakwa mencuri besi enjin bot milik Cheng Han Meng, 32, di jeti Tanjung Api, di sini, kira-kira jam 3 petang, pada 13 Disember lalu.

Tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan.

Tertuduh mengaku salah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Nurunaim Abdullah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail.

Nurunaim juga mengenakan hukuman penjara selama empat bulan lagi jika tertuduh gagal membayar wang denda tersebut.

Sementara itu, hanya kerana Nescafe, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan mencuri 24 peket Nescafe dari sebuah pasar raya pada Selasa lalu.

Tertuduh, Mohd Haris M Satha, 43, dari Kampung Jaya Gading, di sini, didakwa mencuri serbuk minuman kopi jenama tersebut yang berharga RM840 dari pasar raya Terus Maju, Batu 6, Jalan Gambang, di sini, jam 3.55 petang pada hari tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku salah melakukan perbuatan tersebut dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Amalina Zainal Mokhtar.

Mahkamah kemudian mengenakan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bercagar dan menetapkan 20 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit.

Warga emas rentung dalam kebakaran


Seorang wanita warga emas rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Simpang Jalung, di sini malam tadi.


Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata Wong Siew Moy, 76, ditemui rentung di dalam bilik rumahnya pada 11.35 malam selepas pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat selesai memadamkan kebakaran.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita hari ini.

Azman berkata ketika kejadian, Wong, yang belum berkahwin, tinggal seorang diri dan menjalankan perniagaan barangan runcit kecil-kecilan di rumahnya.

Kejadian disedari oleh jirannya yang kemudian menghubungi bomba.

Menurutnya, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berkejar ke tempat kejadian, mengambil masa satu jam untuk memadamkan kebakaran rumah yang
diperbuat daripada papan itu. Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan.

Dituduh lacurkan pelajar sekolah

Seorang peman­du lori wanita dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam kerana melacur seorang pelajar sekolah Tingkatan Tiga, Ogos lalu.


Tertuduh, Suriah Sulong, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Berdasarkan pertuduhan, Suriah dari Taman Sri Lanang dituduh memperdagangkan seorang pelajar berusia 15 tahun bagi maksud eksploitasi seks di Hotel Coastal Park, Ujong Pasir, Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara di SEREMBAN, sepasang suami isteri dan seorang lelaki didakwa di Mahkamah Seksyen Seremban, di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan seorang gadis tempatan di sebuah hotel di Seremban, 22 November lalu.

Tertuduh R.Umadevi, 28, dan suaminya M. Ramesh, 27, serta S.Alagernthiren didakwa bersama pada 22 November lalu kira-kira 11 pagi di Hotel Famous, memukul dengan kerusi dan mengancam membunuh seorang gadis berusia 19 tahun jika mangsa tidak melacurkan dirinya.

Ketiga-tiga tertuduh kemudiannya menerima wang hasil pelacu­-ran tersebut dan tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).boleh dihukum di bawah peruntukan sama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.



Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain.